Pages

Monday, 17 December 2012

ilmu baru

assalamualaikum... baru jer jumpa blog ustazah ni. tadi browse kat phone jer. tapi macam tak puas. bangun bukak lappy tengah-tengah malam. baru baca sikit jer entry nya. tapi i rasa semua menarik untuk kita aplikasikan untuk mendidik anak. biar bukan cikgu pon kan. so saya adalah sangat excited nak share blog ustazah ni, supaya kita dapat manfaat bersama.

blog Ustazah Siti Khadijah.

entry pertama yang yang i baca kat blog ni adalah entry INI yang di share oleh seorang sahabat kat fb. suka kalau ade kawan kat fb ke mana-mana yang suka menyebarkan aura-aura positive, peringatan, ilmu-ilmu. boleh la jugak kita manfaatkan masa-masa mengadap fb tu kan. so i copy paste entry ustazah ni, harap jadi panduan bersama.

"Kalau Ustazah Emak Saya, Saya Akan Peluk Ustazah Sekarang."

Petang Jumaat seminggu yang lalu, sedang saya ralit menyiapkan tugasan yang tertangguh di meja sendiri, seorang pelajar lelaki yang tidak bersongkok dan berstokin datang ke pejabat untuk meminta plastik sampah. Sebaik terlihatkan saya yang sedang menulis catatan di dalam buku rekod mengajar, dia berpatah kembali dari pejabat  menuju ke meja saya.

“Assalamualaikum, ustazah.” Sapanya ramah.

“Wa’alaikumussalam. Oh, kamu.” Saya membalas sapaan pelajar tersebut.


“Saya mahu minta plastik sampah. Tapi apabila nampak ustazah, saya rasa mahu berbual dengan ustazah.” Terangnya jujur.


Saya senyum mendengar kata-katanya. Kemudian saya memberitahu kepadanya, “Kamu boleh minta plastik sampah dengan meminta kepada ustazah yang ada di dalam pejabat. Di sini tiada plastik sampah.”



“Saya tahu. Tetapi saya tetap mahu berbual dengan ustazah.” Sambungnya lagi.
Mengenangkan masa itu bukanlah waktu rehat, saya menyambung lagi, “Nanti pada waktu rehat, kamu datang lagi. Kita boleh berbual lebih panjang. Sekarang masih belum waktu rehat. Pelajar tidak dibenarkan berada di luar kelas kecuali dengan kebenaran guru. Lagi pula, tidak baik buat orang tertunggu-tunggu. Mana tahu rakan-rakan dan guru kamu sedang menunggu plastik sampah. Kasihan mereka.”
Dalam Teknik Nabi Muhammad mendorong orang corot, apabila seseorang melakukan kesalahan, Nabi Muhammad tidak akan memarahi mereka. Sebaliknya, Nabi hanya menerangkan.
Anas bin Malik melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab daripada kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada di situ pergi mengambil setimba air, lalu disirami kencing itu. ~Hadith Rekod Sahih Muslim
Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan prinsip-prinsip berikut:
  • Ada kesalahan yang yang mesti dibiarkan ia dilakukan sampai selesai, seperti dalam kes ini Nabi Muhammad tidak membenarkan lelaki itu diganggu sehingga menyelesaikan kencingnya.
  • Faktor menjaga kesihatan pesalah adalah lebih utama daripada menyuruh pesalah itu menghentikan kesalahan yang sedang dilakukannya.
  • Ada jenis kesalahan yang pesalah tidak disuruh membetulkan kesan kesalahannya, sebaliknya orang lain yang diminta melakukannya. ~Buku Bengkel Mendorong Pelajar Kelas Corot 
Dalam situasi yang berlaku pada hari itu, ada beberapa kesalahan yang telah dilakukan oleh pelajar tersebut. Antaranya ialah;
  1. Tujuan asal pelajar tersebut datang ke pejabat untuk meminta plastik sampah. Sebaik melihat saya berada di meja guru, dia langsung melupakan tujuan asalnya.
  2. Masa tersebut adalah masa belajar, namun dia berada di luar kelas dengan tujuan mahu berbual.
  3. Tidak memakai songkok dan stokin.
Berpandukan hadith Badwi Kencing, saya telah mengaplikasi Teknik Menegur dengan Menerangkan.
  • Saya tidak memarahi pelajar tersebut dengan berkata, “Kenapa kamu berada di sini, bukankah sekarang masa belajar?” (SALAH)
  • Saya tidak menasihati pelajar tersebut dengan berkata, “Masuklah ke dalam kelas untuk belajar. Nanti kamu akan jadi pandai.” (SALAH)
  • Saya tidak mengkritik pelajar tersebut dengan berkata, “Sudah tahu mahu meminta plastik sampah, mengapa kamu datang berjumpa saya. Di sini bukan tempat meminta plastik sampah.” (SALAH)
Sebaliknya saya menegur dengan menerangkan kepada pelajar tersebut dengan berkata, “Nanti pada waktu rehat, kamu datang lagi. Kita boleh berbual lebih panjang. Sekarang masih belum waktu rehat. Pelajar tidak dibenarkan berada di luar kelas kecuali dengan kebenaran guru. Lagi pula, tidak baik buat orang tertunggu-tunggu. Mana tahu rakan-rakan dan guru kamu sedang menunggu plastik sampah. Kasihan mereka.”
Sebaik mendengar kata-kata saya, pelajar tersebut akur dan kembali kepada tujuan asal mengapa dia datang ke pejabat. Namun setelah mendapatkan plastik sampah, dia menyinggah lagi di meja saya untuk meninggalkan pesanan.
Katanya, “Ustazah, nanti masa rehat saya mahu datang berbual dengan ustazah ya.”
Saya mengiyakan kata-katanya, dan kemudian sempat mengaplikasi satu lagi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan, Tetapi Menerangkan.
Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” ~Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam hadith ini, seorang lelaki melakukan beberapa  kesalahan secara terbuka di dalam masjid semasa orang-orang lain sedang sembahyang. Namun Nabi Muhammad sama sekali tidak menegur kesalahan lelaki itu dengan berkata:
  
"Orang lain sudah mula sembahyang tapi kamu baru sampai." (SALAH)
"Perbuatan kamu itu mengganggu orang lain sedang khusyuk sembahyang" (SALAH)"
Apabila saya tanya, kamu tidak menjawab." (SALAH)
Di sebalik sikap Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan lelaki itu adalah prinsip 'menyelamatkan maruah orang yang melakukan kesalahan'. Apabila lelaki itu tidak ditegur oleh Nabi Muhammad dia tidak berasa  dirinya dimalukan di hadapan orang ramai, dengan itu maruahnya tidak  jatuh.
Oleh kerana pelajar tersebut tidak memakai songkok dan stokin, saya berkata, “Ustazah suka melihat kamu memakai songkok. Pakaian kamu akan kelihatan lebih kemas dan rapi sekiranya kamu memakai songkok.”
  • Saya tidak memarahi pelajar itu dengan berkata, “Kamu tidak pakai songkok. Perbuatan kamu ini salah. Kamu telah melanggar peraturan sekolah.” (SALAH)
  • Saya tidak menasihati pelajar itu supaya tidak mengulang kesalahan yang sama dengan berkata, “Lain kali, jangan tidak pakai songkok lagi. Nanti saya akan bawa kamu jumpa guru besar.” (SALAH)
  • Saya juga tidak bertanya apa-apa soalan bagi menyiasat kesalahan pelajar tersebut dengan berkata, “Kenapa kamu tidak pakai songkok?”, “Mengapa kamu ini selalu sangat tidak pakai songkok?” (SALAH)
Tiba-tiba pelajar tersebut menyambung kata-kata saya, “Kalau pakai stokin mesti lebih bagus kan ustazah. Nanti masa perhimpunan, saya tidak akan didenda lagi.”
Saya mengangguk membenarkan kata-katanya. Sebelum menuruni tangga, sempat dia berkata, “Ustazah, rehat nanti saya akan datang lagi untuk berbual dengan ustazah. Saya akan pakai songkok dan stokin.”
“Baik. Ustazah tunggu kamu.” Balas saya sambil menghadiahkan senyuman yang paling manis buatnya.
Sebenarnya, pelajar tersebut adalah pelajar tegar tidak bersongkok di sekolah. Setiap kali perhimpunan sekolah diadakan, dia akan ditarik oleh pengawas sekolah supaya berdiri di hadapan perhimpunan kerana kesalahan tidak bersongkok. Sudah berulangkali dia didenda berdiri di hadapan perhimpunan sekolah dan kadangkala dicubit perut oleh guru disiplin, namun dia masih juga liat mahu bersongkok.
Saya tidak mengenali namanya kerana dia bukan pelajar darjah lima. Saya hanya mengenal wajahnya lantaran dia berulangkali berdiri di perhimpunan sekolah kerana kesalahan tidak bersongkok. Kami baru berbaik-baik sejak pertemuan pertama di pejabat beberapa bulan yang lalu.
Ketika itu, dia berlegar-legar di ruang pejabat tanpa tujuan. Melihat saya duduk di meja sendiri, dia datang menegur. Tegurannya disambut baik. Kami berbual beberapa perkara. Saya tidak menegur perbuatannya yang tidak bersongkok dan berlegar di pejabat tanpa tujuan. Sebaliknya hanya mengaplikasi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan Tetapi Menerangkan sama seperti situasi di atas. Hasilnya, semasa perhimpunan sekolah petang hari itu, dia tidak didenda lagi atas kesalahan tidak bersongkok.
Barangkali, kerana saya jarang bertemu dengannya, dan jarang dapat mengaplikasi Teknik Nabi kepadanya, dia tetap mengulang kesalahan yang sama. Di hari-hari perhimpunan sekolah seterusnya dia masih tetap didenda atas kesalahan yang sama.
Pada waktu rehat petang hari Jumaat itu, dia datang lagi menunaikan kata-katanya. Kali ini, dia datang lengkap bersongkok dan berstokin. Saya memujinya menggunakan Format Pujian Nabi. Pujian saya berbunyi, “Wah, bagus! Ustazah suka melihat kamu bersongkok. Tentu kamu tidak akan dihukum lagi kerana telah memakai songkok.” (Baca Teknik Format Pujian Nabi di sini)
Dia hanya tersenyum-senyum mendengar pujian saya. Saya mempelawa dia duduk bersama di meja. Makanan yang dibekalkan suami pada hari itu saya hidangkan di atas meja. Saya menjemput dia makan bersama. Dia sangat teruja.
Semasa makan, kami berbual bercerita pelbagai perkara. Barulah saya tahu bahawa dia salah seorang pelajar kelas corot bagi tahun empat. Kawan-kawannya yang kebetulan mahu pergi ke perpustakaan juga menyinggah di meja saya. Saya ajak mereka semua makan bersama. Jelas kelihatan di wajah mereka rasa terkejut. Mungkin hairan bagaimana rakannya boleh mendapat layanan istimewa daripada seorang guru.
Kami berbual lagi. Di hadapan kawan-kawannya saya disua pertanyaan, “Ustazah, kenapa ustazah tak garang macam guru-guru lain? Ustazah tidak marah-marah saya tidak pakai songkok dan stokin.”
Saya menjawab, “Kerana Nabi tidak pernah memarahi atau memukul orang yang buat salah. Nabi buat baik pada semua orang tidak kira orang itu orang baik atau tidak. Ustazah mahu ikut Nabi, kerana itu ustazah tidak mahu marah-marah dan pukul kamu.”
Dia dan rakan-rakannya memandang saya lama setelah mendengar jawapan tersebut. Ketika berdiri mahu menghadiri perhimpunan sekolah, dia berkata, “Ustazah, salam. Saya mahu turun ke perhimpunan. Nanti ustazah turun ya. Saya dan kawan-kawan tunggu ustazah.”
Saya mengangguk kepala. Baru beberapa langkah berjalan, dia memanggil saya. Katanya, “Ustazah, kalau ustazah emak saya, saya akan peluk Ustazah sekarang.”
Kalbu saya dibuai sayu dan keharuan. Walaupun bayang pelajar tersebut telah hilang di pandangan, kata-katanya masih terngiang-ngiang. Benarlah Teknik Nabi ini mukjizat. Pelajar corot itu apabila dilayan mengikut perlakuan Nabi, menatijahkan impak yang tidak dapat dijangkakan. 

Pelajar corot ini menjadi sangat istimewa apabila dilayan dengan cara yang betul
 
 
* jadi parents ni adalah tanggungjawab besar. banyak yang perlu kita belajar. banyak yang perlu kita tahu. i banyak lagi nak kena belajar pasal parenting. selalu terpikir-pikir, betul ke ape aku yang aku buat ni. betul ke cara aku didik maryam ni. banyak lagi persoalan. kene banyak lagi menggali ilmu-ilmu. kene lagi banyak membaca dan belajar. so kalau korang tahu buku-buku best pasal paernting, blog-blog, website mendidik anak, plis share! TIA.i love you.

2 comments:

nadia rashid said...

thanks for sharing...kalu bab2 parenting berasaskan islam ni abis baca je mesti nak terharu..huhuh

Rodiah Amir said...

terima kasih berkongsi ilmu..akan dimanfaatkan..insyaAllah